Budak 10 tahun maut, disyaki didera ibu kandung


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat didera oleh ibu kandungnya, lapor Berita Harian. 

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di kediaman mereka di Permatang Badak, semalam, wanita berusia 29 tahun itu membuat panggilan kecemasan pada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan mendakwa anak lelakinya tidak sedarkan diri. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian dan cuba memberi rawatan awal tetapi gagal. 

"Ketika di rumahnya, pasuan perubatan cuba memberi rawatan awal dan memberi bantuan pernafasan. Namun gagal sebelum kanak-kanak berkenaan dibawa ke HTAA dan sebaik saja tiba di HTAA, mangsa disahkan meninggal dunia. 

"Pemeriksaan fizikal dijalankan mendapati, terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa anggota badan mangsa," katanya. 

Ekoran itu, pihak HTAA telah membuat satu laporan polis pada jam 3.48 petang untuk tindakan lanjut. Polis kemudian menahan suspek di HTAA. 

"Ibu kandung mangsa akan direman hari ini untuk membantu siasatan. Berdasarkan kesan kecederaan, polis tidak menolak kemungkinan mangsa pernah didera. 

"Siasatan awal mendapati, mangsa adalah anak sulung suspek dan proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca sebenar kematiannya," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.