Hendak menuntut cerai, dia sayang pula dengan hubungan yang sudah terjalin selama tiga tahun. Tetapi saban hari dia terpaksa menghadap hobi pelik suaminya yang gemar menyeru kehadiran hantu sehingga menyebabkan dia pernah beberapa kali mengalami histeria apabila ternampak makhluk-makhluk yang tidak sepatutnya.
Pernah sebelum ini dia menegur agar suami tidak membazirkan duit untuk aktiviti yang tidak berguna. Namun si suami tunjuk resit sedekah kepada pusat anak yatim yang beribu-riban. Keadaan menjadi lebih teruk apabila si suami mula meminta permintaan yang pelik-pelik di mana dia mahu menyihir isterinya sendiri hanya kerana ingin melihat mangsa sihir muntahkan kaca dan paku. Gila!
SALAM team KRT yang budiman lagi bijaksana, mohon disiarkan cerita aku yang malang ini.
Nama aku Nora, berumur 26 tahun berasal dari Gombak dan telah tiga tahun berkahwin serta belum lagi dikurniakan anak. Suami aku bekerja sebagai kontraktor di ibu kota, namanya Husin (bukan nama sebenar).
Terus terang aku beritahu, duit bukan masalah utama keluarga kami. Aku juga bekerja di salah sebuah syarikat swasta. Bukan masalah duit yang aku nak luahkan di sini tetapi disebabkan 'terlebih' duit inilah Husin suka buat perkara yang tidak masuk akal.
Begini, Husin ada hobi yang mana hobinya bukan seperti tipikal suami orang lain kaki mancing, kaki kereta, kaki Hot Wheels mahupun kaki dangdut. Husin ini hobinya suka menyeru hantu!
Ya, korang tak salah baca. Seru hantu! Dia ini sejak dari kecil hobinya suka membaca kisah dari Tamar Jalis, Tok Awang Ngah dan lain-lain. Bila dah berkahwin ini, lagilah menjadi-jadi hobi pelik dia ini.
Sekarang ini dah banyak cerita hantu di TV, di web dan dia siap melanggan Astro Boo! itu. Tidak cukup dengan itu, dia selalu membaca kisah-kisah hantu di Facebook seperti Arkib Angker Negara, Pensel Studio dan lain-lain lagi.
Aku pernah godek telefon bimbit dia dan unlike page-page itu semua tetapi dia like semula page-page berkenaan. Masalahnya, bila dia baca bab pontianak, dia akan cari pontianak! Kalau pasal penanggal, dia akan cari penanggal!
Bayangkan setiap malam ada saja bomoh, sami dan entah siapa-siapa yang datang rumah menurun! Seru hantu! Dan ya, memang hantu datang! Aku ini dah beberapa kali kena histeria sebab kerasukkan. Husin boleh ketawa dan rakam. Katanya dia puas tengok aku begitu.
Kos menyeru hantu ini bukan murah, sekali upah RM4,000 dan ada sekali itu dia pergi ke Indonesia seminggu nak mencari Genderowo. Sanggup berhabis dekat RM10,000! Ya, duit bukan masalah. Aku risau kadang-kadang tengok Husin. Perbuatan dia itu kadang-kadang nampak syirik. Bila aku nasihat dan kata dia bazirkan duit, alih-alih nanti dia tunjuk resit sedekah pada pusat anak yatim beribu-ribu itu. Entahlah.
Aku buntu, aku nak minta cerai tetapi aku sayangkan hubungan ini. Kadang-kadang ada sekali dia punya idea cukup bodoh. Dia nak santau aku sebab dia nak tengok betul ke ada muntah keluar kaca apa semua. Katanya selepas dah muntah itu semua, dia bagi air penawar. Bangsat kan lelaki seperti ini?!
Warga KRT, aku memohon pertimbangan kalian semua. Aku betul-betul stress dan tertekan. Balik rumah, nampak toyol, langsuir, jerangkung apa semua. Isteri mana yang tahan dengan hobi gila suami seperti ini?
Sumber: Kisah Rumah Tangga