Negeri cantik, budaya menarik, itu takrifan yang diberikan kepada sebuah negeri yang terletak di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Terengganu bukan sahaja terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan, malahan terkenal dengan keenakan makanan yang disajikan.
Selain daripada itu, penyu yang menjadi ikon negeri Terengganu juga merupakan antara tarikan pelancong-pelancong ingin berkunjung ke sana seperti bait lagu yang dinyanyikan oleh Saleem menerusi lagu Blues Terengganu Kita.
Walaubagaimanapun, keindahan yang telah diwar-warkan terpalit pula dengan berita yang kurang menyenangkan pelbagai pihak. Umum mengetahui, populasi penyu mengalami kepupusan. Selain daripada faktor pencemaran, manusia juga antara faktor penurunan populasi haiwan ini.
Tular di media sosial ketika ini, seorang individu telah memuatnaik satu statusnya di dalam kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini yang menyatakan beliau telah membeli dan makan telur penyu. Status berkenaan mendapat perhatian ramai pihak dan mengecam individu yang membeli dan memakan telur penyu.
Turtle Conservation Society of Malaysia telah menjalankan kempen di Twitter besertakan hashtag #SayNoToTurtleEggs bagi membendung kegiatan peniaga dan juga orang ramai membeli dan mencuba telur penyu ini.
“Ya Allah..Tak perlulah cuba telur penyu bila ke Terengganu. Cubalah keropok lekor, satar. Penyu dah semakin berkurangan. Lagipun, dalam 6,000-10,000 ekor anak penyu, hanya seekor sahaja yang akan matang dan kembali bertelur selepas 20 tahun! #SayNoToTurtleEggs.”
Berdasarkan Twitter tersebut, netizen telah menggesa satu undang-undang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan ini demi memelihara spesis penyu yang semakin terancam. Netizen turut meminta Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri memandang serius perkara ini.
“Di Malaysia, bab-bab penyu ni tertakluk pada undang-undang negeri. Di Terengganu, hanya telur penyu belimbing yang dilindungi. Telur spesies lain tidak dilindungi. Oleh itu, tak salah kalau jual telur penyu. Ini adalah salah satu lubang dalam undang-undang kita.” Komen balas TCSMalaysia kepada netizen.
Namun, salah seorang netizen berkata berdasarkan kajian dan pemerhatiannya, penjual di Sabah mempunyai kod rahsia tersendiri bagi proses jual beli telur penyu ini dan penjualan itu dilakukan secara teliti. Dia juga berharap agar telur-telur penyu yang dijual di pasar payang dapat dikurangkan kerana katanya yang membeli adalah dalam kalangan orang kita sendiri bukannya pelancong asing. Dia juga mengatakan undang-undang di negeri Terengganu tidak ketat seperti undang-undang di negeri Sabah.
“Enakmen untuk penjualan telur penyu di Terengganu tak strict sangat macam di Sabah. Kadang-kadang telur yang dekat pasar payang pun diambil dari Sabah. Telur yang dijual kebiasaannya telur yang tak hatch tapi cubalah elakkan makan ye. Bukannya sedap pun.” komen syhrvh kepada TCSMalaysia.
Pihak TCSMalaysia turut menerima emel dari pelancong asing yang meminta mereka lakukan sesuatu terhadap penjualan telur penyu di pasar.
“Kami rasa pelancong memang tak suka bila tengok telur penyu dijual di pasar. Kami pernah terima emel dari foreigner yang minta "do something about the turtle eggs in the market!"
Isu ini bukan sahaja menjadi perhatian netizen, malahan seorang selebriti terkenal, Adibah Noor turut menyuarakan pandangannya.
“The fact that they are still being sold freely.. there is an abundance of ignorance in protecting them and lack of enforcement by those, whom we thought, have the authority.”
Bagi menjayakan kempen ini, kerjasama semua pihak diperlukan demi memastikan spesis ini terus terpelihara bukan sahaja untuk tarikan para pelancong, malahan untuk tatapan generasi akan datang.