Pengusaha kedai makan terpaksa berputih mata apabila ada pelanggan yang mengambil kesempatan menggunakan alasan keluar dari premis untuk merokok seketika, rupa-rupanya terus menghilang atau lari dari membayar makanan yang telah dimakan.
Pengguna mahupun pengusaha kedai/warung makan menerima baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan kecuali 3 meter dari premis. Namun ada segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menipu.
Menurut netizen, ada peniaga yang telah dianiaya lebih 10 kali oleh pelanggan yang menggunakan taktik sama.
"Tadi mamak dok bising dalam kedai ro re ro re dalam loghat Tamil. Aku pun tanya, 'Neyy, apsal?'.
"Bang, itu orang ada makan sini. Sudah habis makan, air tinggal setengah gelas. Sana dia ada keluar. Dia cakap mau hisap rokok. Kejap dia mari duduk. Belakang pusing. dia sudah hilang.
"Bang, sudah 10 orang bikin itu macam dari semalam."
Meskipun ada yang mengatakan kes seperti ini adalah kes terpencil, netizen menasihatkan orang ramai tidak berbuat demikian kerana apa yang dimakan itu akan menjadi darah daging dalam badan.
Pengusaha kedai makan juga disarankan mengenakan konsep 'bayar dulu sebelum makan' bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.