'2 tahun kerja tangkap, pukul & bunuh anjing, balasannya anak aku dilahirkan cacat'


Luahan dan pendedahan bekas pekerja majlis perbandaran yang tidak dinyatakan ini, mengundang pelbagai reaksi netizen di mana tindakan dia dan rakan sekerjanya membunuh anjing terbiar, menerima balasan apabila anaknya dilahirkan cacat. 

Berdasarkan penulisan viral itu, lelaki terbabit ditugaskan untuk menangkap dan menghapuskan kucing atau anjing terbiar selepas menerima aduan dari orang awam. 

Bagaimanapun, pekerjaan itu memberikan kesan yang teruk kepada kehidupannya sejak dia mula bekerja dengan majlis perbandaran itu dua tahun lalu. 

AKU bekerja di sebuah Majlis Perbandaran (tak perlu didedahkan). Tapi aku di Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal. Lebih khusus, kerja menangkap anjing dan kucing. Bila ada orang lapor, aku dan team akan ke tapak lokasi, jerut dan tangkap anjing masuk lori.

Memang banyak aduan dibuat oleh orang Melayu, tetapi aku buat keputusan berhenti kerja sebab macam-macam yang terjadi sejak aku kerja bunuh  anjing ini.

Memang majlis beritahu anjing di 'Put To Sleep' (PTS). Tapi kau orang pernah pantau bila veterinar datang PTS anjing ditangkap ini? Mana NGO? Semua tak ambil peduli. Jadi, majlis nak cut cost, tindakannya BUNUH.

Dalam dua tahun aku kerja, tangkap, pukul dan bunuh anjing. Macam-macam ujian yang aku terima. Semuanya bermula apabila anak aku yang dilahirkan cacat. Anak aku cacat, aku sukar nak terima. 

Keadaan pernafasan anak aku macam anjing yang aku selalu jerut. Aku ikat dan gantung anjing ini sampai mati. Ada mata yang terkeluar, ada kami pukul dengan kayu sampai mati. Anjing ini meronta-ronta, tetapi kami balun tanpa perikemanusiaan. Aku hanya ikut arahan, hanya bekerja makan gaji dan terpaksa walaupun tak sampai hati. 
Tapi ia terjadi pada aku, pada isteri aku. Isteri pengsan tengok keadaan anak kami. Leher anak kami ditebuk. Seksanya Ya Allah. Bunyinya sama seperti nafas anjing yang aku bunuh. Selama lapan bulan anak aku terseksa, lapan bulan aku dibalas atas semua ini. 

Bila anak aku dilahirkan cacat seperti itu, aku jadi insaf dan sedar serta-merta. Isteri aku pun suruh aku berhenti dari terus melakukan pekerjaan itu yang zalim. 

Keadaan anak aku memang kritikal. Selama lapan bulan dia terseksa, cucuk sana sini, tebuk sana sini pada waktu dia baru berusia dua bulan. Bayangkan, multunya berbuih, nafas berbunyi tersekat. 

Sebab aku ingat anak anjing pun kami tak benarkan hidup, kami bunuh walaupun baru dua hari lahir. Aku memang insaf, Tuhan ambil anak aku selepas lapan bulan terseksa. 

Selepas anak aku meninggal dunia, aku berhenti kerja. Aku tidak mahu lagi mencari rezeki dengan cara ini. Cukuplah kita menipu orang awam kononnya anjing-anjing terbiar ini dihantar ke hutan bagai. Semua itu tipu belaka. 

Kepada kawan-kawan aku yang masih naik lori tangkap anjing, bertaubatlah. Berilah sumber duit yang halal kepada keluarga dan anak-anak kita. Aku lebih rela tak ada kerja seperti sekarang dari pagi-pagi Jumaat dah bunuh anjing. 

Sumber: Facebook