Lelaki rakam tumbuk kepala anjing bertubi-tubi sampai berdarah


Video seorang lelaki menumbuk kepala seekor anjing di bilik air viral di media sosial dan mencetuskan kemarahan netizen. 

Video yang dipercayai dirakam di Bandar Yiwu, China, itu menunjukkan anjing itu ditambat dalam bilik air dan mulutnya diikat ketat dengan pita pelekat. 

Lapor Line Today, video berdurasi kurang dari seminit itu dipercayai dirakam pada Februari lalu. Lelaki terbabit kelihatan seronok mendera haiwan itu dan sesekali tersenyum ketika dia memandang ke arah kamera. Bukan itu saja, anak perempuannya turut menyaksi kezaliman bapanya mendera haiwan yang tidak berdosa itu. 

Dia menahan belakang leher anjing itu dan menumbuk kepalanya bertubi-tubi menyebabkan anjing itu mengelupur kesakitan sehingga hidung dan mulutnya berdarah. 

Tidak dapat dipastikan sama ada haiwan itu masih hidup atau sebaliknya, tetapi lelaki terbabit bangga dengan perbuatannya lalu memuat naik video tersebut di media sosial China. 

Tidak beberapa lama kemudian, video itu dipadamkan selepas dikecam teruk oleh netizen yang rata-rata menyumpah lelaki itu akan beroleh balasan yang teruk akibat perbuatannya itu. 

Difahamkan, aktivis haiwan di negara itu menawarkan ganjaran wang tunai kepada mana-mana individu yang dapat mendedahkan identiti lelaki terbabit. 

Video kejadian bagaimanapun tidak dapat disertakan kerana ia terlalu sensitif.