Jika Raja yang pilih MB, Malaysia bukan lagi negara demokrasi - PM


Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim menitahkan agar 'pihak tertentu' berhenti dari membuat bising dan bertelagah mengenai politik, sebaliknya menumpukan kepada usaha menjaga negara. 

"Saya kini berada di luar negara tetapi sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara terutama Negeri Johor melalui laporan-laporan semua pihak.

"Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

"Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan.

"Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti," titah baginda. 


Sebelum itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam tweetnya pada 9 April menegaskan bahawa kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan.


Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa, jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

"Rakyat telah memilih parti dalam pilihan raya dan parti seterusnya ada hak untuk melantik menteri besar. 

"Tetapi (apabila) hak ini dinafikan maka kita bukan (lagi) demokrasi. Kita sudah jadi negara (dengan sistem) raja berkuasa mutlak.

"Di waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenalkan Perlembagaan Persekutuan dan di dalamnya dinyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan, bukan raja berkuasa mutlak. 

"Kita masih ada undang-undang perlembagaan Johor, ia terbatal kerana Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara kita ini. 

"Jika kita hapuskan (sistem) itu, maka kita tak perlu adakan pilihan raya lagi," katanya.