'Johor adalah sebahagian dari Malaysia, melainkan Johor negara asing, saya tidak campurtangan' - PM


Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar melalui posting di Facebook rasminya, baginda mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik, sebaliknya menumpukan usaha untuk menjaga negara. 

Baginda juga menegaskan, pihak yang tidak berkenaan jangan mencampuri urusan di negerinya kerana negeri Johor yang berdaulat masih mempunyai seorang Sultan. 

Ditanya media mengenai kenyataan Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak timbul isu beliau mencampuri urusan dalaman pentadbiran Johor. Ini kerana Johor adalah sebahagian dari Malaysia. 

"Saya tidak tahu (dakwaan campurtangan hal pentadbiran Johor). Tapi saya percaya Johor adalah sebahagian daripada negara ini. 

"Melainkan Johor negara asing, saya tidak campurtangan dalam hal dalaman negara luar itu," katanya. 

Terdahulu Mahathir merasmikan Malaysia Autoshow 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di Serdang.

Berhubung jawatan Menteri Besar yang kini kosong selepas Datuk Osman Sapian meletak jawatan Isnin lalu, Ketua Pembangkang Johor, Hasni Mohammad menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai pengganti. 

Hasni berkata, beliau akan mencadangkan pembubaran DUN ketika menghadap Sultan Johor esok. 

Bagaimanapun, Mahathir berkata, pembangkang yang sudah kalah dalam PRU14 seharusnya diam dan tidak layak membuat tuntutan seperti itu. 

"Dia (Muhyiddin) ada kerja lain. Kita akan letakkan seorang calon. 

"Parti menanglah pilih MB, bukan pihak yang kalah. Orang kalah diamlah," katanya. 

Sumber: MalaysiaKini