'Tergamak dia cuba bunuh kami' - Anak cuba racun ibu & bapa tirinya selepas dihalang bermain games


Seorang lelaki berusia 29 tahun di Si Sa Ket, Thailand, berang apabila dipaksa berhenti bermain permainan video di rumahnya, cuba meracuni seluruh keluarganya dengan mencampurkan bekalan air mereka dengan racun serangga. 

Perkara itu didedahkan oleh ibunya, Suban Duanjan, 51, namun tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu. Tetapi insiden itu membuatkan Suban berasa bimbang dan tertekan. 

Suspek, Sak Duanjan, sebelum itu pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan mula bermain game di telefon bimbitnya dengan volume yang nyaring ketika ibu bapanya sedang tidur. 


Bapa tirinya, Chakri Khamruang, 52, kemudian terbangun dan mematikan modem internet kerana mahu menghalang Sak dari mengganggu tidur malam mereka. 


Malangnya, Sak berang lalu memaki hamun bapa tirinya itu sebelum menghentak dinding rumah. 

Chakri berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa memukul Sak bagi menenangkannya dari terus bertindak agresif. 

Keadaan kembali tenang apabila Sak masuk ke biliknya untuk tidur. 

Tetapi pada keesokan pagi, Suban ternampak kesan racun serangga yang timbul di permukaan air di dalam tempayan, ketika dia mahu mengambil air untuk memasak nasi. 

Suban terkejut dan tidak menyangka anak lelakinya itu tergamak cuba membunuh dia dan suaminya. 


"Saya nampak dia turun ke bawah dan meletakkan sesuatu dalam balang kira-kira jam 2 pagi. Saya tanya apa yang dia buat, tetapi tidak dijawab dan kembali semula ke biliknya. 

"Saya biarkan saja dan masuk semula ke bilik. Saya masih tidak percaya yang dia sanggup melakukan perkara ini," katanya. 

"Saya tahu dia mudah panas baran. Kami dah cuba menasihatkannya agar kurangkan baran dalam dirinya tetapi kali ini dia dah melampau," katanya lagi. 


Ekoran kejadian itu, pasangan berkenaan terpaksa menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk membantu. 

Sak mengakui telah meletak racun serangga dalam tempayan itu kerana dia bengang dihalang dari bermain permainan video di telefon bimbitnya. 

"Kami mahu pihak berkuasa membawa dia untuk menjalani rawatan di hospital kerana kami tidak mahu hidup dalam ketakutan dan bimbang dia akan menyerang kami lagi.

"Dia terlalu banyak bermain game dan saya rasa itu yang membuatkan dia tertekan. Susah nak bentuk dia sekarang memandangkan dia sudah dewasa. Sebab itu kami meminta bantuan," kata Suban. 

Sumber: Asia One, Mirror