(Video) Suspek curi kereta Honda Civic, curi rokok di BHP & guna no plat palsu


Susulan kejadian buli jalanan yang berlaku semalam oleh dua suspek bersenjatakan parang di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru, mangsa telah membuat laporan polis. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pemilik kenderaan yang cerminnya dihentak dengan parang telah membuat laporan polis semalam. 

Bertindak di atas laporan itu, pihak polis kini sedang menyiasat dan memburu dua suspek terbabit. 

"Kita ambil maklum berhubung kejadian itu dan polis JBS sedang menjalankan siasatan kerana tindakan suspek adalah buli jalanan. Kita yakin akan dapat mengesan suspek dalam masa terdekat," katanya.

CURI KERETA DARI JURUJUAL KERETA


Sementara itu, viral pula laporan polis mengenai kereta yang dinaiki suspek merupakan kereta yang dicuri dari sebuah syarikat jual kereta terpakai di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh jurujual kereta, suspek telah datang bertanya mengenai Honda Civic tersebut sebelum mahu memandu ujinya.

Ketika sedang dipandu uji, jurujual yang turut berada dalam kereta itu menyedari mereka diekori sebuah kereta Grand Livina yang dinaiki empat lelaki yang dipercayai rakan suspek.

Suspek kemudian memberhentikan kenderaan itu dan meminta jurujual berkenaan mengambil rokok di Grand Livina. Namun dia enggan berbuat demikian menyebabkan suspek berang lalu menumbuk mangsa dan ditolak keluar dari kereta sebelum memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


CURI ROKOK DI BHP

Tidak beberapa lama selepas itu, viral pula video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek menaiki kenderaan sama, dilaporkan mencuri rokok di sebuah stesen minyak di Jalan Tampoi, dipercayai berlaku sebelum kejadian ugutan melibatkan parang. 

"Pakai Honda tapi mencuri rokok pun tak mampu nak beli. Jaga-jaga semua, kes berlaku di BHP Jalan Tampoi. Viralkan," tulis Fazli Ayie. 





PEMILIK ASAL CCB316 BUAT LAPORAN POLIS

Seorang individu juga tampil menjelaskan bahawa suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pemilik sebenar nombor pendaftaran itu telah membuat laporan polis. 

"Hari ini dapat berita mengejutkan dari customer saya yang kes viral samseng jalanan Honda Civic biru CCB316. 

"Agak terkejut beruk saya dengan berita tersebut dan bertubi-tubi mesej WhatsApp masuk dengan pelbagai persoalan. 

"Untuk pengetahuan anda semua, pemilik sudah membuat laporan di Balai Polis Machang dan saya telah diberitahu bahawa samseng jalanan tersebut telah klon kenderaan customer saya dan mereka sudahpun ditangkap polis," katanya. 


LAPORAN BERKAITAN