Murid maut digilis tayar akibat terjatuh selepas terpijak lantai bas reput


Malang tak berbau, seorang murid lelaki maut akibat terjatuh dari bas yang sedang bergerak selepas terpijak lantai bas yang reput. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.50 tengah hari di Kampung Kandis, Pasir Puteh hari ini, mangsa, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian kerana kecederaan pada di seluruh badannya. 

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Aris, Pasir Puteh untuk dibedah siasat. 

Lapor Harian Metro, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu untuk mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

Rombongan itu mengikuti bengkel tersebut selama dua hari dan bertolak ke lokasi dengan menyewa bas. 

Mangsa dipercayai berdiri bersama beberapa rakannya di bahagian hadapan bas berhampiran tangga. 

"Saya tidak berada di dalam bas ketika kejadian dan hanya dimaklumkan kejadian berlaku kerana tangga bas reput. 

"Murid lain beritahu ada kawasan yang berlubang di bahagian hadapan bas yang mereka pijak, namun tidak pasti ditutup dengan apa," kata sumber yang tidak mahu identitinya disiarkan. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mangsa dipercayai bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu sebelum terjatuh dari bas lalu digilis tayar. 

"Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian pintu hadapan bas dan terus terjatuh ke bawah kerana bahagian lantai kenderaan itu reput. 

"Bas itu tidak sepatutnya digunakan lagi kerana lantainya sudah reput. Pemandu bas mempunyai lesen, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada bas sekolah ini mempunyai permit atau sebaliknya," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro