(Video) 2 rakan sekelas bergaduh, suspek tak puas hati nama maknya diejek


Viral di media sosial klip video dua pelajar lelaki bergaduh yang dipercayai berpunca dari tindakan mangsa mengejek nama ibu suspek. 

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah semalam, video menunjukkan suspek menyerang mangsa bertubi-tubi sambil disaksi dan dirakam oleh beberapa pelajar lain. 

Klip video itu kemudian disebarkan di media sosial sehingga menjadi viral dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

Ketua Polis Daerah Kuala Pilih, Superintendan Haslah Bachok berkata, kedua-dua pelajar itu terbabit dalam insiden ejek mengejek nama ibu sebelum berjumpa di satu kawasan sekolah bagi menyelesaikan perselisihan faham di antara mereka itu. 

Malangnya, perjumpaan itu bertukar menjadi pertengkaran mulu sehingga berlaku pergaduhan. 

"Mangsa berjumpa dengan suspek di tempat parkir motosikal berhampiran kediaman warden asrama sekolah berkenaan pada jam 2.30 petang 2 Julai lalu. 

"Mangsa berjumpa dengan suspek dan meminta maaf secara lisan selain memaklumkan tidak mahu bergaduh. 

"Bagaimanapun, ketika mahu beredar, suspek secara tiba-tiba menyerang mangsa dengan memukulnya sehingga terjatuh dan terus menumbuk dan menendang mangsa," katanya. 

Beberapa pelajar yang menyaksikan kejadian itu turut menjadi batu api dengan menyuruh suspek menumbuk dan menyepak kepala serta muka mangsa. 

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu, leher, pinggang, ibu jari kaki dan seluruh badannya. 


Menyedari video kejadian itu viral di media sosial, keluarga mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti pada jam 10.52 malam tadi. 

Suspek dan mangsa serta beberapa saksi kejadian akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Sumber: Harian Metro