Seorang wanita warga Malaysia mengaku bersalah di atas pertuduhan memeras ugut sepasang suami isteri untuk wang sebanyak A$1,000 (RM2,900) selepas mereka merayu di media sosial agar telefon bimbit yang mengandungi gambar bayi mereka yang nazak dipulangkan.
Tertuduh, Siti Nurhidayah Kamal, 24, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Melbourne dan hukuman akan dijatuhkan pada tarikh yang ditetapkan nanti.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Nurhidayah menghubungi ibu bapa kepada bayi berusia 11 bulan, Amiyah Windross, Jay dan Dee Windross selepas mereka membuat rayuan di media sosial agar telefon bimbit jenis Samsung Galaxy S8 itu dipulangkan.
Difahamkan, telefon bimbit itu dicuri di tandas sebuah pusat beli-belah pada April lalu, selepas tertinggal beg.
Siti Nurhidayah menghubungi pasangan itu dan memeras ugut A$1,000 jika mahu mendapatkan semula gambar bayi mereka.
Namun pasangan itu enggan berbuat demikian, lalu membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan Siti Nurhidayah.
Siti Nurhidayah dan suaminya dilaporkan tinggal di Australia sejak awal tahun ini dan bekerja sebagai penghantar Uber Eat dengan pendapatan A$120 (RM496) sehari. Manakala, dua anak mereka ditinggalkan di Malaysia.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN