'Baju kalis peluru yang dipakainya tidak mampu menahan tembakan itu' - Anak A R Badul mati tertembak ketika lakukan demonstrasi


Anak kepada pelakon popular, A R Badul, iaitu Mejar Mohd Zahir Armaya dilaporkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Bridged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu. 

Demonstrasi itu adalah sebahagian daripada program pertunjukkan untuk dipersembahkan kepada seluruh warga tentera dan ahli keluarga Kem Lok Kawi.

Ketika kejadian, mangsa memakai topeng dan baju kalis peluru melakukan tembakan pertama ke arah rakannya sebelum menerima tembakan dari jarak dekat. 

Namun ketika ditembak, Mejar Mohd Zahir terjatuh sebelum ditarik beberapa anggota tentera ke tepi untuk memberi bantuan kecemasan. Tetapi mangsa tidak sedarkan diri terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE). 

HQE kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.

Ekoran kejadian itu, seorang anggota tentera berusia 37 tahun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, A R Badul memaklumkan dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu pada jam 11 pagi Rabu dan dia reda dengan apa yang telah berlaku. 

"Apa yang berlaku kepada arwah adalah dia tertembak ketika menjalankan latihan pagi tadi. Baju kalis peluru yang dipakainya tidak mampu menahan tembakan itu dan ia sangat menyedihkan," katanya. 

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan menggesa satu siasatan terperinci dilakukan. 

Ini kerana beliau hairan bagaimana peluru itu boleh menembusi baju kalis peluru yang dipakai oleh mangsa. 

"Semua mesti disiasat termasuk semua baju kalis peluru yang ada dalam tentera. Saya rasa sesuatu tak kena sebab tembak di badan sepatutnya tidak bocor," katanya. 

Sumber: Harian Metro