Tangan & mulut bayi melecur teruk selepas bermain soket elektrik


Ibu bapa yang mempunyai anak kecil perlu sentiasa mengawasi anak mereka dari sebarang bahaya sama ada di dalam atau luar rumah. Cuai atau leka sesaat boleh menyebabkan anak menanggung akibat berpanjangan. 

Disebabkan kecuaian si ibu, bayi perempuan berusia dua tahun ini terpaksa menanggung kesakitan yang tidak terkata. 

Dalam kejadian yang berlaku di Liaoning, China, bayi itu dibiarkan bermain gajet sendirian di dalam bilik neneknya, sementara ibunya sibuk menguruskan hal-hal rumah. 



Apabila ibunya datang memeriksa keadaan, dia terkejut sebaik saja melihat anaknya bermain dengan paku lalu dirampas dan diletakkan di tempat tinggi sebelum kembali menyambung mengemas rumah. 

Tidak beberapa lama kemudian, si ibu terhidu bau terbakar dari rumah itu lalu segera berlari mendapatkan anaknya kerana menyangka berlaku kebakaran. Tetapi ianya lebih teruk dari apa yang disangka. 


Sebaik saja membuka pintu, dia melihat anaknya memegang paku dan dicucuk ke dalam lubang soket elektrik menyebabkan dirinya terkena renjatan. 

Mangsa melecur teruk di bahagian kedua-dua belah tangan dan mulutnya yang bengkak dan terus segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 


Doktor berkata, mangsa mengalami luka melecur tahap empat dan tidak dapat dipastikan sama ada otaknya turut terjejas.