54 ekor anjing termasuk anaknya yang masih kecil mati lemas akibat banjir kilat di Seremban


Sebanyak 54 ekor anjing termasuk anak-anaknya yang dibela oleh NGO di Kampung Mawar, Mambau, ditemui mati ekoran banjir kilat di sebahagian kawasan di Seremban, tengah malam tadi. 


Menurut Setiausaha Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven, M Sathiavany berkata, kesemua anjing-anjing liar itu mati lemas selepas kandang yang menempatkan 1,800 ekor anjing berdekatan dengan Sungai Linggi itu dilanda arus deras. 


Difahamkan, pihaknya menyedari paras air meningkat pada tengah malam dan tujuh pekerjanya yang menjaga kandang itu segera membuka pintu kandang bagi melepaskan anjing-anjing liar itu.


"Ada 1,800 ekor anjing dan kebanyakannya adalah anjing liar yang ditangkap, menyelamatkan diri dengan naik ke atas bumbung kandang. 


"Pekerja memaklumkan kejadian itu, tetapi kami tidak dapat pergi ke kandang kerana jalan tidak boleh dilalui," katanya. 


Jam 7 pagi tadi, Sathiavany bersama ahli NGO yang lain pergi ke kandang dan mendapati 54 ekor anjing termasuk anak anjing yang masih kecil mati dipercayai lemas disebabkan arus deras yang melanda kandang seluas 0.8 hektar itu. 


Selain itu, harta benda milik para pekerjanya dan stok makanan anjing juga turut musnah. 


Sathiavany berkata, anjing-anjing yang sedia ada akan dipindahkan ke pusat penjagaan baharu yang lebih selesa dan jauh dari kediaman penduduk di Kuala Sawah, Rantau pada hujung tahun ini. 


Sumber: Harian Metro