'Awak jomlah ke rumah sewa saya..' - Tergoda dengan rayuan janda muda, remaja lelaki maut dikelar & ditikam 42 kali


Pelawaan seorang janda muda berusia 17 tahun untuk pergi ke rumah sewanya, tidak dapat ditolak oleh lelaki muda ini yang dipercayai sudah tertarik dengan penampilannya. Namun dia tidak menyedari, itu sebenarnya adalah perangkap yang bakal meragut nyawanya. 


Lapor portal Tribun News, lelaki berusia 18 tahun itu ditemui mati dengan banyak kesan tikaman ditemui di badannya selepas diperdaya oleh janda muda itu dalam kejadian yang berlaku di Medan, Sumatera Barat, Indonesia. 


Difahamkan, mangsa berkenalan dengan janda muda itu melalui laman Facebook. Setelah itu, janda yang hanya dikenali sebagai YF itu mengajak mangsa, RF, untuk berjumpa buat pertama kalinya. 


Setelah berjumpa, YF kemudian mengajak RF pergi ke rumah sewanya dan RF pun menerima ajakan tersebut. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan rakan kepada janda itu, YF, yang kemudian mahu menumpang ke destinasi yang sama. Akhirnya, mereka bertiga membonceng motosikal yang sama dan si janda berada di tengah.


Sebaik saja tiba di rumah sewa, mangsa diserang bertubi-tubi dan ditikam dan lehernya dikelar dengan pisau oleh YF. Meskipun cedera, mangsa masih dapat melawan sehingga datangnya seorang lagi rakan suspek yang menaiki kenderaan, keluar dan terus membantu suspek kedua menikam mangsa menggunakan pemutar skru berkali-kali. 


Setelah mendapati mangsa sudah tidak bernyawa, ketiga-tiga suspek melarikan barang-barang milik mangsa seperti motosikal CBR 150 dan telefon bimbit jenama Xiaomi Note 4X. 


Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek di sebuah hotel di Daerah Asahan, berdasarkan penemuan pemutar skru yang digunakan dalam kejadian itu, memberi petunjuk kepada pihak polis. 


Ketua Polis Medan, Riko Sunarko berkata, "Kita telah menyelesaikan kes pembunuhan ini berdasarkan petunjuk dari pemutar skru ini. Pemutar skru ini milik salah sebuah bengkel dan pemiliknya mengenali pemutar skru ini adalah miliknya," katanya.


Menurut pemilik bengkel, dia sebelum itu ada ternampak suspek mengambil pemutar skrunya. 


"Pada waktu petang semasa saksi sedang bekerja, dia ternampak tiga suspek duduk di depan bengkelnya. Setelah ketiga-tiga suspek beredar, dia mendapati pemutar skrunya hilang," katanya.


Polis juga percaya, ketiga-tiga suspek menggunakan modus operandi memperdaya lelaki muda di media sosial sebelum dibawa berjumpa dan seterusnya dibawa ke lokasi untuk dicederakan sebelum menyamun barang-barang berharga milik mangsa. 


Sementara itu, pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati, terdapat 42 kesan luka tikaman yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek lelaki menyebabkan mangsa mati akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk.


Ketiga-tiga suspek termasuk dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 23 dan 15 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.