'Saya nampak ada benda tergolek' - Penunggang basikal maut dirempuh lori di Putrajaya


Seorang wanita maut apabila basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dari arah belakang di atas jambatan berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 di Putrajaya pada jam kira-kira 9.40 pagi, Sabtu, 19 Disember 2020.


Saksi kejadian, Mohd Shukri@Budiman Hassan, 43, berkata ketika kejadian itu berlaku, kenderaannya berada di belakang lori terbabit yang dibawa perlahan.


“Tiba-tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.


“Bila saya turun, rupanya objek yang saya mulanya sangka terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Mohd Shukri berkata dia kemudian mendekati mangsa serta memeriksa nadinya dan mendapati nadi wanita itu amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.


“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.



Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintenden S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.


Dia berkata mayat mangsa yang berusia 34 tahun itu telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.


"Kita telah menahan pemandu lori dan lori tersebut untuk siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah kesalahan trafik mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sumber: Bernama