Seorang lelaki di Kabupaten Kulonprogo, Indonesia nekad membakar rumah milik ibu bapanya kerana tidak puas hati keinginannya untuk memiliki motosikal tidak dituruti.
Ketua Perhubungan Awam Polis Kulon Progo, Nengah Jefry berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan dari mangsa berusia 45 yang melaporkan rumahnya dibakar oleh suspek yang merupakan anak kandungnya sendiri.
"Kes ini masih dalam siasatan dan suspek dipercayai anak kepada pemilik rumah itu sendiri," kata Jefry.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada pagi 10 Januari 2021. Pasangan suami isteri berkenaan baru pulang dari bertani mendapati pintu rumah yang dibuat dari kayu dalam keadaan terbakar.
Mereka mengesyaki individu yang bertanggungjawab di atas kejadian itu adalah anak mereka sendiri kerana sejak dari Sabtu, 9 Januari 2021, suspek berang permintaannya untuk dibelikan motosikal tidak kesampaian.
Pasangan itu tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana mereka tidak mempunyai wang dan ditambah pula dengan masalah ekonomi.
Bertindak di atas laporan itu, polis terus menahan suspek dan dibawa ke balai untuk diambil keterangan.
Suspek mengaku membakar pintu rumah menggunakan daun kelapa kering dan beredar dari tempat kejadian. Bagaimanapun, api tersebut hanya membakar pintu dan tidak sempat merebak ke bahagian lain.
"Kami sudah mengambil pintu yang terbakar itu sebagai barang bukti," katanya.
Siasatan lanjut mendapati, suspek memiliki tiga biji pil terlarang. Suspek turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif dadah. - Agensi