Seorang wanita berusia 31 tahun yang juga pelakon drama pendek di YouTube didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan pada seorang lelaki, selain membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol pada Disember 2020.
Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin, 31, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu merogolnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu disebuah restoran di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa pada jam 3 petang, 19 Disember 2020, dan didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dari dua hukuman itu.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat laporan palsu kononnya dia telah dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan. Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Kubang pada jam 12.08 malam, 20 Disember 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Riduan Ismail.
Sharifah Amirda Shasha memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan. Namun Riduan merayu anak guamnya dikenakan jaminan minimum kerana tertuduh merupakan suri rumah, selain perlu menjaga empat anaknya berusia dari dua hingga 10 tahun.
Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan situasi yang dihadapi mereka kini amat membebankan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kini yang terpaksa berdepan dengan pandemik Covid-19.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari 2021.
Sumber: Harian Metro