'Alasan maknya durjana sungguh!' - Ibu ditahan, disyaki dera & pukul bayi 7 bulan sampai berlaku pendarahan dalam mata


Polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun di Butterworth kerana disyaki mendera dan memukul anak lelakinya berusia tujuh bulan sehingga lebam di badan dan mata mangsa. 


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan dari bapa mangsa berusia 28 tahun yang memaklumkan anaknya mungkin dippukul dan didera, tetapi tidak mengetahui siapa pelakunya. 


Bapa mangsa yang bekerja sebagai mekanik itu berkata, dia dan isterinya sudah tidak tinggal bersama. Wanita itu menghantar mangsa kepadanya pada jam 4.30 petang Ahad, 7 Mac 2021, di rumahnya di Kuala Bekah. 


Lelaki itu kemudian meminta kakak ipar memandikan mangsa sebelum menyedari kesan-kesan lebam tersebut, lalu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menjalani pemeriksaan. 


Pegawai Perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam di dahi, muka dan perut sebelah kiri, selain pendarahan di mata kanan. 


Bapa mangsa yang hairan kenapa isterinya menghantar anak mereka kepadanya secara tiba-tiba kemudian bertanya kepada isterinya mengenai perkara itu. Wanita berkenaan memaklumkan anak mereka terjatuh dari buaian. 


Difahamkan, pasangan itu sudah tidak sehaluan dan tinggal berasingan. Mangsa pula selalu dijaga oleh ibu mentua lelaki berkenaan dan adakalanya dijaga oleh ibu kandungnya sendiri. 


Susulan dari laporan itu, suspek ditahan untuk siasatan. dari keterangan awal, suspek memaklumkan anaknya mungkin terjatuh daripada buaian semasa dalam jagaan rakan-rakan lelakinya di sebuah pangsapuri yang didiaminya. 


Keterangan yang diberi oleh suspek menimbulkan rasa curiga. Polis mengesyaki suspek bergaul dengan rakan-rakannya yang merupakan penagih dadah. 


Keputusan ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah. Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 


Sumber: Harian Metro