'Kau bunuh 2 nyawa sekali gus!?!' - Suami tetak leher isteri sampai mati sebab enggan dedah hubungan sulit


Seorang wanita hamil ditetak sehingga mati oleh suaminya sendiri sebelum melarikan diri dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Tanah Merah Checkpoint, KM 50, Jalan Tawau-Semporna, Sabah. 


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7 malam lalu bergegas ke lokasi kejadian. 


Sebaik tiba di lokasi, polis menemui mayat mangsa, Norhasnah Sahanin, 20-an, di ruang tamu. Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tetakan di bahagian belakang leher yang dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam. 


Polis kemudian melancarkan gerakan memburu suspek berusia 22 tahun, warga Filipina, bekerja sebagai buruh ladang. Suspek bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit iaitu tujuh kilometer dari lokasi kejadian, berjaya ditahan pada jam 12 tengah malam.


Polis turut merampas sebilah panjang parang panjang berukuran 68 sentimeter dengan sarungnya berwarna biru, serta sehelai seluar panjang. 


Motif kejadian berpunca dari suspek yang mengetahui tentang hubungan sulit isterinya. Suspek meminta mangsa menceritakan hubungan sulitnya itu, tetapi mangsa enggan berbuat demikian. Tindakan mangsa membuatkan suaminya berang lalu bertindak menyerang dia.


Suspek direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sumber: Harian Metro