Businessman Rusia tawar ganjaran RM4.1 juta untuk kepala Presiden Vladimir Putin


Seorang ahli perniagaan Rusia telah menawarkan ganjaran $1 juta (RM4.1 juta)  bagi sesiapa yang dapat menangkap Presiden Rusia, Vladimir Putin, dengan menyiarkan poster 'Wanted: Dead or Alive' di media sosial. 


Alex Konanykhin dalam catatannya di Facebook dan LinkedIn berkata, dia akan membayar wang ganjaran untuk penangkapan Putin yang dianggap sebagai penjenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. Konanykhin mendakwa, Putin bukan Presiden RUsia kerana dia 'membunuh lawannya'. 


Bagaimanapun selepas Facebook memadamkan poster itu, Konanykhin menegaskan dia bukan meminta orang ramai membunuh Putin, sebaliknya mengheret presiden itu ke muka pengadilan. 


Konanykhin membuat tawaran itu seminggu setelah Putin meluluskan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah menyebabkan kematian lebih daripada 2,000 orang awam Ukraine setakat ini. 


Konanykhin, 55, seorang usahawan kaya yang berkhidmat dalam delegasi Rusia ke Amerika Syarikat pada 1992 di bawah Presiden Boris Yeltsin ketika itu. 



Tetapi dia berselisih dengan Kremlin selepas dia dituduh menggelapkan $8 juta dari Russian Exchange Bank di Moscow dan dia diberikan suaka untuk tinggal di Amerika Sarikat pada 2007. 


Dalam siaran di LinkedIn, Konanykhin menulis: "Saya berjanji akan membayar $1,000,000 kepada pegawai yang mematuhi tugas perlembagaan mereka, menangkap Putin sebagai penjenayah perang di bawah undang-undang Rusia dan antarabangsa. 


"Putin bukan Presiden Rusia kerana dia mula berkuasa hasil operasi khas meletupkan bangunan pangsapuri di Rusia. Kemudian melanggar Perlembagaan dengan menghapuskan pilihan raya bebas dan membunuh lawannya". 


Sumber: Daily Mail