Kementerian Pendidikan akan memperincikan isu beg berat murid secara mendalam dan merangka penyelesaian holistik memandangkan pendekatan yang diambil sebelum ini belum dapat menangani sepenuhnya isu itu.
Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan kementerian itu akan mengumumkan perincian menyeluruh mengenai perkara ini.
“Ini adalah penting bagi membolehkan pendekatan yang akan dilaksanakan dapat menyelesaikan isu beg berat secara tuntas.
Kerjasama erat semua pihak adalah penting bagi memastikan segala cadangan, langkah dan tindakan bagi mengatasi beg sekolah yang berat dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan murid. Kementerian komited untuk memastikan aktiviti pembelajaran murid sentiasa berada dalam keadaan kondusif," kata kementerian.
Ia bagi menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang bertanyakan usaha kementerian untuk mengatasi masalah beg sekolah berat dan sama ada kementerian bercadang menukarkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang tidak terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata.
Menurut jawapan itu, kementerian telah melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca dan mendapatkan penyelesaian isu itu antaranya Kajian Beban Beg Buku Murid Sekolah Rendah pada 1994, Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).
Kementerian itu memaklumkan hasil kajian itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk menyusun semula jadual waktu supaya dapat disesuaikan antara tiga hingga empat mata pelajaran dipelajari setiap hari serta meminimumkan penggunaan buku latihan untuk satu-satu mata pelajaran.
Sumber: Bernama