Apa hukum penghantar makanan (rider) hantar makan/minuman haram? Ini jawapan Ustazah Asma' Harun

Foto Kosmo Online


Isu penghantar makanan beragama Islam menghantar makanan atau minuman haram seperti babi dan alkohol, seringkali dibincangkan di media sosial dan ia dilihat seperti tidak berkesudahan. 


Baru-baru ini, seorang individu membangkit soalan yang sama kepada Ustazah Asma' Harun untuk mendapatkan jawapan yang jelas. 


"Assalamualaikum. Nak tanya ni, apakah hukum menghantar makanan tidak halal seperti arak dan babi?" 


Menjawab persoalan itu Ustazah Asma' berkata, seseorang yang bekerja sebagai penghantar barang dan sifat pekerjaannya itu adalah umum serta tidak bertujuan jahat, maka hasil pendapatan yang diperolehi itu adalah halal. 


"Namun, jumhur ulama seperti Imam al-Khatib al Syarbini mengatakan bahawa haram bagi jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran sekiranya sedar atau diketahui. 


"Ia juga jatuh haram apabila terdapat sangkaan yang kuat akan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram. 


"Sebarang jenis urusan jual beli yang melibatkan perkara yang diharamkan adalah haram kerana ia termasuk dalam larangan membantu perbuatan dosa dan persengketaan," katanya.


Bagaimanapun dalam situasi tertentu, pekerjaan tersebut boleh dilakukan sekiranya seseorang itu masih belum berpeluang untuk bekerja dalam bidang atau perkhidmatan yang diyakini halal setelah berusaha mencari pekerjaan itu. Selain itu, dibolehkan menghantar makanan yang tidak halal untuk pelanggan bukan beragama Islam kerana penghantar makanan bukan secara langsung dalam menghasilkan makanan itu.


Dalam pada itu, Ustazah Asma' Harun turut menggariskan lima perkara yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada penghantar makanan. 


  1. Harus bekerja sebagai penghantar makanan (rider) sekiranya barang dan sifat pekerjaannya umum dan tidak bertujuan jahat. 
  2. Haram jika dia mengetahui bahawa pekerjaannya jelas membawa kepada maksiat dan kemungkaran seperti arak, khinzir dan sebagainya walaupun ditujukan kepada orang bukan Muslim. 
  3. Haram baginya untuk menghantar sesuatu pesanan sekiranya dia mendapat sangkaan yang kuat (yakin) akan tujuan penggunaan pesanan tersebut membawa kepada perkara haram. 
  4. Dimaafkan jika terdapat barangan sampingan ikutan (tabi') yang haram sedangkan asal pekerjaannya adalah harus seperti menghantar pesanan makanan yang halal namun terdapat ramuan atau bahan haram yang digunakan dalam makanan tersebut. 
  5. Jika pesanan bercampur halal dan haram, perlu melihat kepada tiga perkara berikut: 
    • Jelas mengetahui makanan/minuman yang halal melebihi yang haram maka ia dianggap halal.
    • Jelas mengetahui makanan/minuman yang haram melebihi yang halal, maka ia perlu dielakkan menurut Imam Ahmad. 
    • Tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram, maka hukumnya adalah makruh menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu.



Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun