Penerbit Datuk A Aida dilaporkan telah mengambil keputusan untuk tidak menawarkan sebarang tawaran berlakon untuk pelakon Hafidz Roshdi dalam drama atau filem terbiatan syarikatnya, A Aida Production.
Jelas Aida, dia membuat keputusan itu berdasarkan sentimen yang ditunjukkan masyarakat dan dalam masa sama tidak mahu kemunculan pelakon berkenaan dalam karya terbitannya akan mengundang kesan negatif.
"Bagi saya, apa yang dilakukan (Hafidz) menyentuh sensitiviti masyarakat. Ini akan membuatkan penonton beremosi. Ini tidak bagus untuk syarikat produksi saya andai perkara seumpama itu terjadi.
"Jadi, saya tidak akan ambil pelakon seperti dia. Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada 'rating'. Ini salah satu kemungkinan sahaja. Sama ada drama itu 'meletup' atau dikecam. Disebabkan itu, saya mahu elak," katanya memetik laporan daripada portal Gempak, Selasa, 7 Mac 2023.
Bagaimanapun, Aida tiada masalah untuk memberi peluang kepada mana-mana selebriti untuk bekerja dengannya walaupun mempunyai masalah peribadi seperti Ismail Izzani.
Namun, jika selebriti berkenaan terbabit dalam kes mengasari wanita dan menyentuh sensitiviti masyarakat, dia tidak akan mengambilnya untuk berlakon.
"Seperti sekarang, Ismail Izzani sedang menjayakan penggambaran bersama syarikat produksi saya. Untuk hal ini, saya tiada masalah. Apa yang saya tahu, masalah Ismail bersifat peribadi.
"Ismail bagi saya, pelakon bagus. Setiap hari dia datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Dia tiada masalah dan sanggup belajar.
"Kalau masalah artis membabitkan orang lain seperti menggasari wanita dan menyentuh sensitiviti masyarakat, saya tidak akan ambil berlakon," katanya.
Sumber: Gempak