'Just let me go' - Puteri Sarah dedah pernah dipukul Syamsul, tapi tak buat report ketika itu sebab masih ada rasa sayang



Pelakon Puteri Sarah Liyana hari ini mengemukakan bukti baharu mendakwa dirinya pernah dipukul oleh Syamsul Yusof pada 2020 yang menjadi punca dia keluar dari rumah. 


Puteri Sarah berkata, bukti baharu itu dikemukakan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas ketika prosiding tuntutan cerainya di Mahkamah Rendah Syariah pagi tadi, selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya. 


"Sebolehnya saya tidak mahu membuka cerita mengenai kejadian itu, tapi disebabkan Syamsul tidak mahu melepaskan saya, maka saya dedahkan kepada mahkamah," katanya. 


Menurut Puteri Sarah, dia selama ini hanya mendiamkan diri mengenai kejadian itu dan tidak membuat laporan polis kerana masih cinta dan sayang kepada suaminya. 


Puteri Sarah diselamatkan oleh ibu mentua yang membawanya keluar daripada rumah dua tahun lalu. 


"Kejadian dipukul antara fakta mengapa Puteri Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz). Jadi andaian anak guam saya keluar rumah tanpa izin adalah tidak betul sebab anak guam saya ada alasan kukuh," kata Datuk Akberdin Abdul Kader, peguam kepada Puteri Sarah. 


Puteri Sarah mengakui dirinya terkejut apabila Syamsul enggan melepaskannya kerana beranggapan masih ada sinar dalam hubungan mereka. Bagi Puteri Sarah, sinar itu sebenarnya sudah tiada dan amat berharap Syamsul melepaskannya. 


"Dia kata masih ada sinar, sedangkan saya masuk hospital baru-baru ini pun dia tak datang jenguk. Sinar apa?


"Just let me go. Dia pun sudah kahwin lain. Saya tak marah, malah saya mendoakan kebahagiaan mereka," katanya. 


Dalam pada itu, Puteri Sarah memaklumkan ibu bapa mentuanya bakal menjadi pencelah dan saksi apabila berhadapan dengan orang ketiga dan Syamsul. 


"Mereka sanggup nak beri keterangan kerana mereka sentiasa dengan saya, mereka nampak apa yang berlaku," katanya. 


Sumber: Harian Metro