'Perubahan apa? Bercakap dengan tin kosong memang begitulah' - Fizz Fairuz gelak bila Seniman kata dia beri kenyataan serkap jarang



Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kesal dengan kenyataan serkap jarang pelakon Fizz Fairuz yang mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa apabila ahlinya ditimpa kemalangan semasa bekerja, susulan insiden kemalangan yang membabitkan pelakon Fasha Sandha ketika menjalani penggambaran sebuah drama di Johor, baru-baru ini. 


Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh persatuan untuk membela kebajikan artis yang bernaung dibawahnya. 


"Selama ini banyak inisiatif-inisiatf dan dasar yang Seniman lakukan untuk ahli-ahlinya. Malangnya, berkemungkinan beliau (Fizz Fairuz) sendiri tidak pernah mengambil tahu apa yang dilakukan oleh seniman. 


"Walaubagaimanapun, Seniman berterima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu berkenaan Perkeso dan isu ini menjadi viral  dan memberikan ruang untuk ahli-ahli Seniman mengetahui bahawa, Seniman telah bekerjasama dengan Perkeso sejak tahun 2020 lagi secara rasmi. 


"Sejak 2021 sehingga hujung 2022, melalui data Seniman hanya 82 orang sahaja ahli Seniman  yang berdaftar di bawah skim khas Perkeso ini. Sejak dari itu, lebih 10 ahli Seniman telah mendapat bantuan dan faedah daripada skim tersebut.


"Seniman juga agak kesal dengan  kenyataan yang  dikeluarkan oleh Fizz Fairuz yang dianggap sebagai serkap  jarang tanpa usul periksa dengan pihak Seniman sendiri," katanya memetik laporan daripada Astro Awani. 


Kenyataan Seniman itu kemudian dibalas oleh Fizz Fairuz melalui Instagramnya.


"Serkap jarang? Hahaha.. 82 orang? Berapa ramai anak seni? Badan menjaga anak seni kenalah usaha lebih sikit, diwajibkan bukan tak nak ambil tau. Dah malas nak ambil tau sebab sama jer dari dulu sampai sekarang. Apa perubahan seniman?


"Perubahan apa? Bercakap dengan tin kosong memang begitulah. Sampai bila-bila tak ada perubahan," katanya. 





Sumber: Astro Awani, Instagram Fizz Fairuz