'Kalau terjun dari tingkat 4, mati tak?' - Instafamous terjun bunuh diri selepas putus cinta


Sabtu, 28 November 2020, netizen di media sosial digemparkan dengan kejadian seorang wanita membunuh diri dipercayai kerana kecewa setelah putus cinta. 


Mangsa, Ketut Ayu Wulantari, 23, berasal dari Singaraja, Daerah Buleleng, Bali, Indonesia yang merupakan pelajar universiti, nekad menamatkan riwayatnya dengan melompat dari tingkat empat Hotel Rose di Daerah Badung, Bali. 


Orang awam yang berada di kawasan kejadian kira-kira jam 10 pagi menjerit ketakutan. Mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah jatuh terhempas akibat terjun dari tingkat empat bangunan hotel. 


Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bali dan sebaik saja tiba di hospital, doktor mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia. 


Ketua Polis Daerah Kuta Selatan, Yusak Agustinus Sooai berkata, mangsa membunuh diri kerana kecewa selepas putus cinta dengan bekas teman lelakinya. 


Difahamkan sebelum mangsa membunuh diri, mangsa sempat bertanya kepada saksi apakah dia akan mati sekiranya melompat dari tingkat empat. 


"Dia (Ayu) ada bertanya, kalau jatuh dari tingkat empat boleh menyebabkan mati atau tidak. Saya jawab, kalau belum ajal, berkemungkinan tidak mati dan jadi orang cacat. Saya sempat mengingatkan dia untuk tidak berbuat demikian," katanya. 


Sumber: Agensi 

Pasangan culik 2 kanak-kanak untuk didera & dibiarkan kelaparan selama 5 bulan, berdepan hukuman penjara 194 tahun


Sepasang suami isteri berdepan dengan hukum penjara 194 tahun kerana didakwa mendera dan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan selama empat bulan tanpa belas kasihan. 


Pegawai Penyiasat berkata, Priscilla Meachem, 31, dan Elijah Waltz, 38, ditahan dituduh memukul dua kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun serta dibiarkan kelaparan dalam kejadian yang berlaku antara Jun hingga Oktober tahun ini.


Pasangan yang berasal dari Zanesville, Ohio, juga mengikat mereka menggunakan pita pelekat bagi mengelakkan mereka melarikan diri, selain mencukur rambut mangsa dan selalu makan di hadapan mereka. 


Dektektif Bryan Ruff berkata, "Ini adalah kes penderaan yang paling teruk pernah saya lihat. Kanak-kanak lelaki dipukul dengan kayu dan gitar," katanya. 


Pasangan terbabit yang tinggal bersama sejak April 2020 berdepan dengan senarai tuduhan yang panjang. Mereka dituduh melakukan sembilan serangan kejam, enam pertuduhan menculik dan tujuh pertuduhan membahayakan kanak-kanak yang membawa kepada hukuman penjara keseluruhan 194 tahun. 


Berdasarkan pertuduhan, mangsa didera dan diseksa dengan pelbagai barang seperti tali pinggang, kabel elektrik, tali zip dan pita pelekat. Mulut kanak-kanak perempuan itu juga disumbat dengan stoking.


Pasangan itu juga mendera kanak-kanak lelaki menggunakan rotan, kayu dan gitar selain alat sulitnya juga didera. 


Kedua-dua mangsa itu kini ditempatkan di pusat pelindungan. Polis hanya mengetahui kejadian itu selepas seorang individu menghubungi mereka dan memaklumkan nasib malang yang menimpa dua kanak-kanak berkenaan. 


Sumber: Daily Star

Harga Roti Gardenia dinaikan, ekoran kenaikan harga bahan mentah


Harga beberapa produk roti berperisa jenama Gardenia akan mengalami kenaikan antara 5 sen hingga 20 sen mulai 1 Dis ini berikutan kenaikan harga bahan mentah seperti lemak sayuran, serbuk koko dan susu serta kos pembungkusan.


Gardenia Bakeries Sdn Bhd (GBKL) dalam satu kenyataan berkata sebelum ini pihaknya menyerap kos kenaikan itu, namun kini ia tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih.


Menurutnya antara produk-produk Gardenia yang akan mengalami perubahan harga adalah Gardenia Squiggles - Funky Strawberry, Choco Malto; Gardenia Delicia Soft Roll - Butter Toffee, Sambal Bilis, Gardenia Fluffy Red Beans; Gardenia Toast'em; Delicia Butter Raisin, Butterscotch, Choco Raisin serta Raspberry Milk & Cranberries.


“Harga bagi produk-produk Gardenia yang lain dikekalkan, kerana GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk berkenaan,” menurut kenyataan itu.


Menurutnya sepanjang beberapa tahun kebelakangan, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan pihak syarikat. 


GBKL berkata kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu, dan fokus pada ketika ini adalah untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang selain memastikan bekalan optimum pada harga yang berpatutan.


Sumber: Bernama

Guru tadika curi bedak muka bernilai RM60.70 dipenjara 10 hari, denda RM1,500


Akibat mencuri satu bedak padat muka di kedai produk kesihatan dan kecantikan pada Jumaat lepas, seorang guru tadika dipenjara 10 hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim memerintahkan S. K. Yoges, 37, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Nov lepas, selain turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat minggu lagi, sekiranya dia gagal membayar denda.


Yoges mengaku bersalah mencuri satu bedak padat muka jenama Revlon bernilai RM60.70 milik Watson’s Personal Care Stores Sdn Bhd di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini, pada 8.35 malam, 27 Nov. 


Pertuduhan ke atas wanita itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dipenjara dan boleh dikenakan denda dan sebat.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun Yoges yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung keluarga.


Sumber: Bernama

Suspek 'tersengih' ada masalah mental


Seorang suspek lelaki warga Nigeria yang dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga sebuah apartmen di Danau Kota, Setapak di sini, semalam, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.


Menjelaskan perkara itu dengan lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata ini kerana suspek didapati mengambil ubat-ubatan berkaitan mental.


Beliau berkata perkara berkenaan adalah berdasarkan keterangan ahli keluarga suspek.


“Selain itu, kami juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah menerima rawatan mental atau sebaliknya.


“Kami juga tidak boleh ambil keterangan suspek kerana suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Selain itu, Saiful Azly berkata isteri suspek dan anak tiri yang cuba dirogol suspek sedang menerima rawatan di HKL kerana trauma dan kecederaan akibat dipukul suspek.


Mengulas sama ada suspek ada mengambil dadah, Saiful Azly berkata pihaknya akan mengambil ujian saringan air kencing milik suspek. 


“Ya, kami akan ambil sampel urin suspek manakala hasil keputusan laporan bedah siasat kanak-kanak itu juga masih belum diperoleh,” katanya.


Saiful Azly berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.


Semalam, Bernama melaporkan suspek berkenaan telah ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya berusia empat tahun dari tingkat tiga, di apartmen berkenaan.


Berikutan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira 8 pagi semalam.


Kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol seorang daripada anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang juga ibu kepada kanak-kanak yang maut itu.


Sumber: Bernama