BELUM selesai siasatan polis, seorang lelaki mendakwa dirinya ‘abang’ kepada suspek yang serang tiga wanita di Ara Damansara, Selangor semalam, tampil mohon maaf menerusi laman sosial.
Individu berkenaan yang tidak diketahui identitinya meluahkan rasa bersalah atas perlakuan keji suspek dan mengakui kesilapannya kerana gagal memberikan didikan yang baik kepada adik kandungnya itu.
“Sebelum saya berada di masyar untuk menjelaskan perkara di atas, saya memohon jutaan maaf atau ada bahasa yang lebih tinggi dari itu saya ingin gunakan untuk memohon maaf kepada semua.
“Terutama sekali kepada mangsa di atas kegagalan saya memberi didikan yang sempurna untuk adik saya di dunia dan akhirat kerana gambar dan video di atas, 99% adalah adik kesayangan saya.
Menurutnya, dia turut sedia menawarkan ganti rugi kepada mangsa samun adiknya dengan menghubunginya secara peribadi menerusi media sosial.
“Pada yang mengenali mangsa, boleh sampaikan kepada mangsa untuk menuntut ganti rugi dari saya dengan menghubungi saya melalui Facebook.
“Walaupun saya tahu ia tidak setimpal dengan apa yang terjadi, maafkan saya sekali lagi. Saya memohon agar sahabat-sahabat semua mendoakan agar adik saya peroleh hidayah (Hidayah milik Allah) dan menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan,” tulisnya.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup yang memparkan seorang lelaki berparang merompak dua wanita di hadapan pondok pengawal kesalamatan telah menjadi viral di media sosial. – MYNEWSHUB.CC