Pegawai SPRM Dera Isteri, Berang Pasportnya Ditahan Dengan Alasan Nak Pergi Umrah


TANGKAK - Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mendera isterinya pada September lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini di atas pertuduhan mengugut birasnya dengan sebilah parang panjang, September lalu, lapor Harian Metro. 

Tertuduh, Muhammad Nazrin Abdullah, 37, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Maslinda Selamat. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Nazrin didakwa melakukan ugutan dengan menunjukkan sebilah parang panjang kepada birasnya, Mohammad Faris Ngatiman di sebuah rumah beralamat Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir, jam 7.10 pagi, 21 September. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Muhammad Nazrin dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan. Bagaimanapun, pasport antarabangsanya ditahan dan Majistret menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh juga diperintahkan untuk melapor diri dua minggu sekali di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Segamat dan tidak dibenarkan mendekati mangsa. 

Bagaimanapun, tertuduh secara tiba-tiba bertindak agresif, menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat di kandang tertuduh sebaik majistret selesai memberi perintah jaminan terhadapnya. 

Tertuduh tidak berpuas hati dengan perintah jaminan yang menahan pasport antarabangsanya dan mendakwa keputusan itu tidak adil kerana tertuduh bercadang mahu mengerjakan umrah pada 13 November ini. 

"Aku nak pergi umrah la!" jerit tertuduh berkali-kali.