Mangsa, Cassidy Trevan terpaksa meninggalkan persekolahannya selepas dia menjadi mangsa buli sekumpulan remaja perempuan. Ibunya, Linda, berkata, sekumpulan remaja terbabit telah menampar muka anaknya dan kerap menjadikan Cassidy sebagai mangsa buli di media sosial.
Dua minggu selepas kejadian itu, Cassidy kemudian kembali ke sekolah di mana dia telah bertemu sekumpulan remaja terbabit yang meminta maaf di atas perbuatan mereka sebelum itu. Malah mereka mahu Cassidy menjadi rakan mereka dan menjemputnya ke sebuah festival. Tetapi sebenarnya Cassidy telah dibawa ke sebuah rumah berdekatan di mana mangsa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh dua remaja lelaki.
Dalam luahan yang ditulis oleh ibunya di Facebook menyatakan, dia menghabiskan masa selama dua tahun untuk menjaga dan memastikan Cassidy terus hidup.
"Saya terpaksa melihat anak saya menderita selama dua tahun akibat perbuatan mereka. Dia bimbang mereka akan mencari dan mendapatkannya lagi. Dia banyak mengalami mimpi buruk, insomnia, panik, masalah mental dan beberapa lagi masalah yang lain," katanya.
Selepas kejadian itu, Cassidy berpindah ke sekolah lain agar kejadian buli seperti itu tidak berulang lagi. Namun dia masih menjadi mangsa buli di media sosial.
"Saya terpaksa mendapatkan perintah campur tangan selepas anak saya diserang oleh pembuli berkenaan. Malah selepas kejadian rogol itu, dia telah menghubungi saya untuk bercakap dengan Cass." katanya lagi.
Dalam tempoh dua tahun itu, Cassidy dan ibunya telah bertemu dengan pegawai detektif. Namun Cassidy tidak pernah membuat kenyataan rasmi berhubung kejadian itu kerana takut akan akibat dan beranggapan pihak berkuasa tidak akan mampu menggenakan sebarang dakwaan.
Selepas menanggung derita itu selama dua tahun, Cassidy mengambil keputusan untuk membunuh diri pada 12 Disember 2015.
"Apa yang anda (pembuli) lakukan pada dia adalah penyebab dia membunuh diri pada 12 Disember 2015. Saya tahu siapa awak, awak tahu siapa diri awak dan polis juga tahu siapa awak. Saya berharap perkara ini akan menghantui diri awak sepanjang hayat dan satu hari nanti jika awak mempunyai zuriat, ingatlah apa yang awak telah lakukan kepada satu-satunya anak saya. Dan bayangkan apa yang awak rasa bila ada seseorang yang memperlakukan anak awak seperti itu.