Soalan: Bolehkah kita makan masakan orang Islam yang tak solat?
Jawapan:
Rasulullah pernah terima undangan Yahudi di Madinah dan pernah makan masakan mereka , jika di kira Yahudi itu adalah orang kafir tetapi baginda tetap memakannya kerana baginda sudah pasti makanan tersebut halal. Jika nak di kira orang kafir lebih teruk daripada orang Islam yang tak solat. Maka cuba semak balik hadis atau kisah makanan orang yang tak solat itu lebih teruk daripada anjing hitam samada ianya sahih atau palsu.
Secara umumnya memakan makanan yang diberikan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan (halal) jika makanan tersebut tidak terdiri daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya. Oleh itu, kita boleh menerima bahkan memakan makanan tersebut jika pada zahirnya ia adalah makanan yang bukan dibuat daripada atau kandungannya mengandungi elemen yang haram sebagaimana disebutkan, walaupun makanan itu dibuat atau dimasak atau disediakan oleh mereka sendiri.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan baginda SAW menerima undangan tersebut.
TIDAK ada larangan kepada orang Islam memakan makanan yang dimasak oleh orang kafir, dan orang fasik (kerana tak solat), selama-mana ia tidak melibatkan makanan yang HARAM di makan (seperti khinzir (babi)) atau minuman yang diharamkan (seperti arak, wine, dsb), dan juga binatang yang disembelih bukan dari kalangan orang Islam atau Ahli Kitab.
Begitu jugalah menggunakan pinggan, gelas dsb, yang di basuh oleh orang-orang kafir, melainkan mereka menggunakan bahan-bahan pencuci yang mengandungi benda yang haram.
Orang Kafir Najis
Firman Allah S.W.T.
“Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang Musyrikun itu adalah najis…..” [Surah al-Taubah ayat 28]
Kenajisan kaum Musyrikin bukanlah najis hissiyah, dan apa yang dijelaskan di dalam al-Quran didalam ayat di atas bermaksud ketidaksucian kaum musyrikin terhadap AQIDAH mereka yang mensyirikkan Allah SWT.
Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi :
“Kenajisan orang musyrikin adalah Najis Ma’nawiyah, Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.
Malah kata al-Qaradhawi di dalam riwayat Sahih bahawa Nabi SAW dan para sahabat pernah minum dan mengambil wuduk dari bijana orang Musyrikin. Baginda juga makan makanan hidangan orang kafir.
Kesimpulannya, anda boleh makan makanan yang dimasak oleh orang kafir selagimana kandungan makanan tersebut halal dimakan. Sentuhan orang kafir BUKAN najis. Yang berbeza dengan kita hanyalah aqidah mereka sahaja. Jika makanan dan masakkan orang kafir di bolehkan maka masakan orang islam yang fasik kerana tak solat adalah di bolehkan.
Boleh makan tetapi jika ada kedai makan yang penjualnya muslim yang menutup aurat dan suaminya nampak warak kita utamakanlah kedai makan seperti ini kerana kita mengutamakan orang yang lebih bertakwa.
Sumber : islamituindah.my
via Bin Usrah
Sumber : 1Citemalaya>