KPDNKK Selangor sita lapan berus cat dipercayai daripada bulu babi di tiga premis di Shah Alam




SHAH ALAM, 9 Jamadilawal 1438H, Isnin – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor hari ini menyita lapan berus cat pelbagai jenis dipercayai diperbuat daripada bulu babi di tiga premis menjual perkakasan binaan, dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, operasi itu dibuat bagi mengesan penjualan berus haiwan berkenaan yang dibuat secara terbuka tanpa sebarang label di premis menjual perkakasan binaan di seluruh Selangor.

“Kita menjalankan operasi ini bagi memeriksa dan mengesan penjualan berus cat di kedai-kedai yang mana kita khuatiri berus itu diperbuat daripada bulu babi.

Mana-mana pemilik kedai boleh menjual berus ini di premis masing-masing tetapi berus-berus ini perlu dilabelkan atau diasingkan supaya pengguna (terutamanya yang beragama Islam) jelas pembuatannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas berus cat yang diperoleh dari tiga premis di Taman Sri Muda dan Kota Kemuning itu mendapati ia tidak mempunyai label kod A913 dan A680.

Katanya, mengikut rekod pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kod A913 dan A680 yang tertulis pada badan berus menunjukkan berus itu diperbuat daripada bulu babi.

Namun, beliau berkata berus cat yang disita hari ini tidak mempunyai sebarang kod, justeru, pihaknya akan menghantar berus-berus itu untuk ujian makmal bagi mengesahkan kandungan bulu berus terbabit.

Susulan itu, Abdul Rosik berkata, pihaknya akan mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan penjualan berus cat di premis-premis berkaitan bagi menjaga kepentingan pengguna Islam di negeri ini.

“Ini juga soal produk halal…sebab itu kita minta peniaga supaya peka terhadap pembuatan dan penghasilan produk serta barangan yang dijual kepada pengguna,” katanya.

Semalam, KPDNKK dilaporkan akan memeriksa semua premis menjual perkakasan binaan dan pasar raya di seluruh negara bagi mengesan berus cat bulu babi yang dijual di pasaran.

Ia susulan penemuan oleh Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM) yang mendapati sampel berus cat dihantar untuk ujian makmal disahkan diperbuat daripada bulu babi.

Sumber : BicaraNework