Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Kesembuhan itu berada pada tiga hal, iaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan pembakaran dengan api panas (kay). Sesungguhnya, aku melarang umatku daripada berubat dengan kay.”Hadis Sahih Bukhari
Islam adalah agama yang syumul, lengkap dan meliputi segala aspek kehidupan manusia, termasuklah dari sudut kesihatan. Tahukah anda, terdapat satu rawatan alternatif yang dinamakan sebagai ‘bekam’?
Mungkin ada segelintir daripada kalangan pembaca sudah pun mendapatkan rawatan ini, atau mungkin dirinya seorang perawat mahupun pemilik pusat bekam. Bahkan, mungkin ada dalam kalangan kita ini yang masih tidak tahu rawatan apakah ini? Selamatkah? Tidak berbahayakah untuk kesihatan?
Justeru, di sini dikongsikan beberapa info atau maklumat berkaitan dengan amalan sunnah iaitu bekam;
#1 – Apa Itu Bekam?
Bekam atau ‘al-Hijamah’ adalah salah satu rawatan perubatan Islam yang melibatkan proses membuang darah kotor dan bertoksik yang berada di bawah permukaan kulit. Ianya adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w.
#2 – Bilakah Waktu Dibolehkan Berbekam?
Waktu terbaik berbekam ialah pada 15, 17, 19 dan 21 bulan Qamariyah. Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Barangsiapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21, maka itu akan menyembuhkan semua penyakit.”Hadis Riwayat Abu Daud
Mengenai hari-hari dalam seminggu, dari Nafi’ dari Umar r.a yang berkata;
“Wahai Nafi’ berbekamlah dengan berkat dari Allah s.w.t pada hari Khamis, berusahalah menghindari berbekam pada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa kerana itu merupakan hari di mana Ayub disembuhkan dari penyakit dan Allah s.w.t menimpakan penyakit padanya pada hari Rabu, kerana sesungguhnya penyakit kusta dan belang biasanya muncul pada hari Rabu atau malam Rabu.”Riwayat Ibnu Majah
#3 – Adakah Terdapat Pantang Larang Dalam Berbekam?
Ya. Terdapat beberapa pantang larang antaranya; tidak boleh berbekam bagi mereka yang mengalami penyakit kulit, orang tua yang lemah fizikal, kanak-kanak dehidrasi, pesakit kanser darah, sering keguguran, orang gila, pesakit Hepatitis A dan B yang parah dan setelah muntah.
Juga dilarang kepada pesakit yang baru mencuci darah, wanita hamil 3 bulan pertama, mereka yang baru menderma darah, tidak digalakkan bekam ketika sangat kenyang atau sangat lapar, wanita yang sedang haid, penyakit radang usus, ibu yang baru melahirkan anak dan lain-lain mengikut keadaan seseorang.
#4 – Bagaimana Kaedah Bekam Menurut Islam?
Pada zaman Rasulullah s.a.w, bekam menggunakan kaca atau mangkuk tinggi. Manakala pada zaman Cina kuno, mereka menggunakan tanduk. Manakala orang-orang Eropah pada abad ke-18, mereka menggunakan lintah sebagai alat bekam.
Kini, zaman semakin canggih dan kaedah berbekam juga mengalami transformasi, iaitu menggunakan sayatan pisau, gelas udara kaca, gelas vakum – cupping set dan jarum lancet.
#5 – Apa Hikmah dan Kelebihan Bekam?
Hikmah dan kelebihan bekam, antaranya;
– Menyahut seruan dan sunnah Rasulullah s.a.w.
– Membantu melancarkan peredaran darah.
– Mengeluarkan dan membuang angin, toksik, darah kotor, darah beku serta darah berpenyakit dalam badan.
– Meringankan otot-otot yang kejang dan tegang, menyegarkan dan menyihatkan badan.
– Mengeluarkan gula berlebihan yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit kencing manis/diabetes)
– Tidak memberi peluang kepada mahkhluk halus menjadikan tubuh anak Adam sebagai tempat tinggal mereka.
– Mengeluarkan asid urik yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit gout)
– Mengeluarkan lemak/minyak berlebihan di dalam darah (untuk menyembuhkan masalah berat badan berlebihan dan masalah jerawat).
– Membuang racun atau sihir dalam badan dan banyak lagi manfaatnya.
– Membantu melancarkan peredaran darah.
– Mengeluarkan dan membuang angin, toksik, darah kotor, darah beku serta darah berpenyakit dalam badan.
– Meringankan otot-otot yang kejang dan tegang, menyegarkan dan menyihatkan badan.
– Mengeluarkan gula berlebihan yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit kencing manis/diabetes)
– Tidak memberi peluang kepada mahkhluk halus menjadikan tubuh anak Adam sebagai tempat tinggal mereka.
– Mengeluarkan asid urik yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit gout)
– Mengeluarkan lemak/minyak berlebihan di dalam darah (untuk menyembuhkan masalah berat badan berlebihan dan masalah jerawat).
– Membuang racun atau sihir dalam badan dan banyak lagi manfaatnya.
#6 – Adakah Orang Bukan Islam Boleh Berbekam?
Ya. Bahkan, sejarah mencatatkan bahawa penduduk di negara China sudah lama mengamalkan kaedah rawatan ini dalam pengubatan penyakit di sana, selain negara Eropah.
#7 – Selamatkah Bekam?
InsyaAllah selamat. Ini kerana kaedah ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w bahkan kaedah yang dijalankan pada zaman sekarang turut diakui oleh Jabatan Kesihatan.
Namun begitu, perlu diingatkan sebelum hendak berbekam adalah lebih baik anda memilih tempat atau pusat rawatan bekam yang diakui oleh Jabatan Kesihatan, tidak melanggar syarak dan jurubekam yang benar-benar terlatih serta diakui kemahirannya.
Moga perkongsian ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua mengenai salah satu sunnah Rasullah s.a.w yang jarang diwar-warkan. Jika orang bukan Islam meyakini kaedah rawatan ini, mengapa kita sebagai umat Islam perlu takut dan meraguinya?
Bersamalah kita menghidupkan sunnah Rasulullah SAW ini, mudah-mudahan beroleh keberkatan kerana menyahut seruan Baginda s.a.w. Wallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral