Adakah Yuran Pertandingan Adalah Judi?




Soalan:

Apakah pandangan tentang wang yuran yang dibayar oleh peserta sesuatu pertandingan seperti pertandingan joran yang menetapkan pembayaran bagi setiap mata pancing dengan harga tertentu?
Biasanya lagi mahal hadiah, lagi tinggi yuran.Zaki, Penang

Jawapan:

Setelah diteliti didapati banyak pertandingan joran khususnya, yang sekarang begitu meluas dalam negara ini berasaskan ‘judi’ atau qimar. Untuk itu beberapa perkara berikut perlu disebutkan;

Perkara 1

Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar. Qimar atau maisir atau judi bermaksud ‘setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut.
Hal ini sering berlaku sesetengah pertandingan joran dalam negara ini. Wang pertaruhan yang dinamakan ‘yuran penyertaan’ yang diambil itu dijadikan hadiah untuk yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta.
Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan hanya untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan.
Ini terbukti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan. Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah.

Perkara 2

Sebenarnya, yuran penyertaan itu jika sekadar pembayaran peserta menggunakan kemudahan yang disediakan seperti makan minum, duit kenderaan dan seumpamanya, maka itu BUKAN judi dan pertaruhan.
Namun, apabila ia menjadi wang terkumpul untuk hadiah pemenang, maka itu adalah satu PERJUDIAN. Konsep ini hampir sama dengan apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat loteri yang pernah menamakan diri mereka ‘loteri kebajikan’.

Perkara 3

Umat Islam wajib menghindari penyertaan pertandingan joran atas konsep perjudian yang seperti itu. Ia adalah haram dan dosa besar. Firman Allah:
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai mereka yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”Surah al-Maidah: 90

Perkara 4

Para penganjur yang sekarang sudah membabitkan pelbagai peringkat hendaklah mengelakkan unsur perjudian dalam pertandingan joran yang diadakan. Firman Allah:
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)”Surah al-Nisa: 29
Maka, haram sesiapa yang terbabit dalam menganjur kegiatan judi atau menggalakkannya.

Perkara 5

Untuk keluar dari perjudian yuran pertandingan ini, hadiah hendaklah datang dari pihak tidak terlibat dengan pertandingan, sementara yuran yang diambil hanyalah untuk urusan kemudahan dan kebajikan perserta sahaja.



Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah